Tin Besar

Tin Tong

Selasa, 15 Ogos 2017

Antara Keluarga, Sahabat dan Masa

Tajuknya saja nampak gaya mendekati corak penulisan akademik. Namun begitu, kita di Ruangan Konklusi idea ini akan cuba huraikannya dengan penuh santai tapi sampai. Yang penting isinya, bukan kulitnya. Kalau kulitnya berkhasiat, barulah kita selitkan sedikit buat renungan.

                Sebagai seorang jejaka yang semakin mendekati tarikh luputnya, perlulah kiranya diberi pesanan buat diri sendiri supaya terus-terusan untuk positif dalam apa jua cabaran hidup yang mendatang. Mana tidaknya, kekuatan ini tidak akan lahir dengan sendirinya. Perlu dilatih, disemai seterusnya akan bercambah dalam diri. Berbalik pada tajuk, tiga elemen iaitu keluarga, sahabat dan masa adalah unsur yang saling berkait rapat dalam memberi rangsangan pada seseorang individu. 

                Keluarga misalnya, mencerminkan asas jati diri seorang insan. Jika kuat asas keluarganya, sudah tentu kuat jugalah peribadinya. Buat RKI secara peribadi, keluarga adalah sebuah tempat dan ruang untuk RKI bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai perkara. Paling penting, mereka ini bertindak sebagai 'supporting sensor ' buat kita. Tidak hairanlah orang-orang yang telah berjaya itu dibayangi oleh keturunan keluarga yang sangat membina keyakinan dan ketahanan dirinya. 

              Jika keluarga mencerminkan asas jati diri, sahabat pula bertindak sebagai cerminan amali. Iyalah, cuba bayangkan kalau seseorang itu disekelilingi dengan suasana sikap kasar, sudah tentu apabila berhadapan dengan sahabat akan bertindak kasar. Begitu juga sebaliknya, seandainya seseorang itu sudah terbiasa santun dalam bicara, mudah untuk membantu sahabat, sudah tentu akan menghasilkan sebuah komuniti masyarakat yang positif. Hal ini demikian kerana corak amalan kita dipengaruhi oleh kenalan kerana secara puratanya kita lebih cenderung bergaul dengan mereka lebih lama.

             Namun begitu, kedua-dua elemen diatas memerlukan masa untuk dilentur. Keluarga yang kukuh memerlukan masa untuk membentuknya. Sahabat yang utuh perlukan masa untuk kita sama-sama saling percaya, saling membina keyakinan(bonding). Malah, masa ini perlu dibahagi-bahagikan supaya keluarga dan sahabat ini dapat diberikan layanan yang setimpal, seiring dengan sumbangan mereka kepada kita. Andai kata sudah cukup masa buat mereka, kita bolehlah kembali fokus pada masa peribadi kita. Ingat, diri sendiri juga mesti diutamakan. Berilah masa buat diri sendiri untuk menikmati ruangnya hasil daripada penat lelah kita sepanjang melakukan kerja, sebarang aktiviti dan sebagainya.

                Pendek kata, ketiga-tiga elemen di atas saling berkait rapat dalam kehidupan seharian kita. Sampai masanya nanti, seorang demi seorang daripada kita akan menemui tarikh luput mereka sendiri. Sementara kesempatan ada, moleklah kiranya kita luangkan barang seminit dua ataupun semana mampu kita dengan keluarga, sahabat juga diri kita. Insya Allah, ada berkatnya daripada amalan baik itu.

Jumaat, 4 Ogos 2017

Sudut Cip Cerpen - Sofea dan Irah

Jarum jam menunjukkan tepat pukul enam petang. Terlihat kelibat Sofea dan Irah sudah bersiap-siap dengan barang mereka, sesekali terdengar omelan kecil mereka betapa gembiranya ingin pulang ke kampung halaman. Lebih menarik apabila mereka kini dapat bercuti lama. Semuanya gara-gara halangan sebuah lembaga hitam yang tidak membenarkan mereka pulang. Mujur ada Pak Kazim yang bijak mnggunakan kepakaran yang ada untuk meloloskan kedua-dua gadis ini. Mereka sangat gembira, jauh sekali untuk melegakan sesak nafas yang ada sebelum ini akibat keletihan berlatih sekian lama di laman.

               Irah yang lebih bertindak seperti seorang kakak yang begitu protective pastinya tidak akan membiarkan lagi Sofea dan dirinya diganggu lembaga hitam. Jadi kali ini mereka menggunakan pesan Pak Kazim supaya sentiasa mengamalkan tiga perkara; gunakan akal, santun dalam bicara serta berkerjasama. Tiga amalan ini sangat memberi kesan pada Sofea dan Irah. Lebih-lebih lagi Irah yang sudah lama terlatih sejak kecil kerana dia merupakan antara anak harapan dalam keluarganya. Manakala Sofea lebih manja dan bersikap keadik-adikan kerana sudah terbiasa, senang segala segi dari hidup. Kedua-duanya mempunyai latar belakang keluarga yang berbeza, bagai langit dan bumi.

               Hari semakin malap, matahari juga hampir selesai tugasnya. Dua gadis dalam perjalanan menuju ke Klang, amat riang diiringi gelak tawa sewaktu dalam bas. Tidak semena-mena, mereka dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Nombor yang tak dikenali muncul di skrin telefon. Dalam takut-takut, Sofea mengangkat juga telefonnya.

“Hai... kenapa menghilang?”,suara garau yang keluar dari telefon.

‘Saya...’, jawab Sofea tersekat-sekat. 

               Sofea yang teragak-agak nak meneruskan perbualan, hanya terdiam dan menoleh ke kirinya. Melihat tindakan aneh itu, Ira dengan cepat dan tangkas mengambil telefon Sofea lalu menamatkan panggilan. Sofea hanya tergamam diam, kelu tak terkata. Irah yang perasan keadaan itu hanya diam, memberi ruang buat Sofea berehat. Irah kembali menghalakan pandangannya ke luar tingkap bas. Melihat Irah yang sedang termenung panjang itu, Sofea perlahan-lahan membuka zip beg tangannya. Dia mengeluarkan sekeping kertas.


*bersambung

Rabu, 2 Ogos 2017

Santun Dalam Melakukan Kerja

Sebagai seorang insan yang tidak terlepas daripada menghadapi masyarakat, kita sentiasa akan berdepan dengan pelbagai kerenah dalam menyiapkan tugasan masing-masing. Sejauh mana beratnya tugasan itu, atau sekecil mana pun peranan yang kita galas, hal itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita tidak menggunakan santun dalam bicara mahupun tindakan. Sama ada tugas kita sekecil-kecil semut, sehinggalah sebesar-besar gajah sekalipun, setiap individu itu berperanan dalam pembentukan masyarakat. Justeru, RKI ingin beri sedikit pandangan berkaitan perkara ini. 

Jika anda mempunyai halangan, misalnya di tempat kerja. Boleh jadi halangan yang anda hadapi berbentuk arahan yang tidak jelas disampaikan kepada anda. Tindakan yang sepatutnya dilakukan adalah dengan cara anda bersoal jawab semula dengan individu tersebut dalam usaha untuk memahami tugas yang sedang diberi. Hal ini diyakini efektif jika si pemberi arahan dan si penerima arahan duduk dalam ruang ‘menjelaskan tugasan dengan terperinci’ atau dalam ruang ‘mencari titik penyelesaian’. Namun sekiranya keadaan berlaku sebaliknya, ada beberapa langkah yang berpotensi untuk diambil kira. 

Satu daripadanya adalah dengan menjalankan juga tanggungjawab walaupun arahan yang diberi agak tidak jelas. Nah, di sini ada sedikit kurang selesa buat anda. Hal ini kerana dengan menerima arahan sebegini, sudah pasti anda tidak akan berpuas hati dengan apa yang anda lakukan lantas lebih menjurus kepada tindakan memaki hamun, marah, seterusnya hilang mood dalam proses ingin menyiapkan tugasan. Pendek kata, santun dalam diri lambat laun akan terhakis dek kerana sentiasa diserang bertubi-tubi dengan perasaan tidak selesa ini. 

Selain itu, anda boleh juga menguatkan jati diri untuk menjaga santun anda dengan cara menenangkan diri. Cari jalan untuk tidak marah dan fikir ke arah positif. Di situ akan menguatkan lagi jati diri anda untuk terus produktif dalam menggalas tugasan yang diberi. Malah, boleh jadi anda slow talk dengan majikan anda jika tanggungjawab anda terlalu rumit, cuba berbincang untuk mendapatkan kesepakatan dalam berkerja. Hal ini boleh meningkatkan produktiviti kalian di tempat kerja. Jangan khuatir untuk berdialog dengan majikan anda kerana kalian saling memerlukan dalam satu bumbung organisasi. Namun, senario yang paling buruk adalah dengan cara anda memberikan notis 3 minggu awal untuk melepaskan jawatan yang sedang anda galas. Tindakan ini lebih efektif buat anda seandainya anda sudah rasa terbeban dengan suasana tempat kerja sedemikian rupa. 

Beberapa cadangan diatas barangkali berguna buat sesetengah individu sahaja kerana setiap daripada kita mempunyai cara yang berbeza. Cuma RKI nak tekankan disini adalah sikap santun perlu diutamakan walaupun kita sedang mendepani cabaran getir. Sedangkan Rasulullah juga bersopan santun dalam tutur bicaranya, tingkah lakunya malah menjaga adab dengan orang yang memusuhinya, apatah lagi kita manusia yang sentiasa melakukan kesilapan setiap hari dalam hidup kita. Oleh itu, tingkatkan santun dalam peribadi, supaya kita punya jati diri. 

Isnin, 17 Julai 2017

Seminggu Ramadhan di Singapore Yang Lalu

Genap seminggu RKI kembara di tanah seberang Malaysia ini membawakan sebuah perasaan yang menarik. Dengan berbekalkan sedikit pengalaman merantau sebelum-sebelum ini, RKI layankan perasaan di negara orang. Kebetulan pula kebanyakan perkara dah 'fly' dari hidup RKI, jadi teruslah seorang diri melakukan tindakan yang unik. Segalanya pantas berlaku. (Fly disini merujuk kepada relationship, kerjaya dan isu persahabatan).

Bertitik-tolak pada pelbagai aspek, maka diri ini pun menyusun perancangan hidup seterusnya; kembara sambil mengutip secebis rezeki. Walaupun mungkin untuk masa yang terhad, tetapi aku yakin bahawa percaturan kali ini membawa pada ruang baru dalam hidupku. Kita sebagai manusia akan sampai satu tahap di mana perlu berikan ruang dan peluang peribadi untuk kita mengorak langkah majukan diri. Peak of life sometimes compress our feeling. Dan apa yang menjadikan kita lebih lega adalah, apabila keadaan yang menekan itu berjaya diatasi dengan cara yang santai, tidak terlalu petak dan tidak terlalu longgar untuk dibiarkan.

Begitulah senario hidup yang dilalui ketika itu, seminggu Ramadhan di Singapura. Sementara kini (di dalam bulan Syawal), kepelbagaian budaya, corak berfikir disamping pergaulan dengan teman-teman daripada Nusantara sudah cukup membuatkan RKI menyerap semangat 'kerukunan Asia Tenggara'. Mana tidaknya, tak lama lagi kita bakal menghadapi temasya sukan SEA 2017 Kuala Lumpur... kita akan menjadi tuan rumah kepada negara-negara Asia Tenggara yang lain dan sudah semestinya kita perlu mempersiapkan diri dengan keazaman, sikap toleransi dan mesra kepada pengunjung yang bakal hadir. Seiring dengan diri ini yang sempat berkenalan dengan rakan-rakan daripada Singapura, Indonesia malah Malaysia sendiri memberikan satu rangsangan positif untuk teruskan hidup.

Memang tak dinafikan bila kita kembara dalam tempoh yang lama, kita akan mula merindui dan menghargai tanah kelahiran kita sendiri. Begitu jualah aku yang sudah mula merindui makanan-makanan di Malaysia. Dan bercakap mengenai ini, terngiang-ngiang kata-kata seorang teman, "Bila kau duduk lama di luar negara, kau akan rasa lebih patriotik". (Walid Ali, 2016) Nah, aku tak nafikan, malah turut bersetuju dengan kata-kata ini. Mungkin ada kemajuan dan kelebihan yang ada di negara orang dari sudut matawang, prasarana, sikap masyarakat dan sistemnya, tetapi dari sudut yang lain pula, akan terjentik secara halus ke dalam diri kita persoalan mengenai tanggungjawab untuk kembali menabur bakti pada negara kita. Itulah senario yang dialami pada hemat RKI, sesuatu yang agak penting untuk diberikan perhatian apabila berada di negara sendiri.

Mungkin coretan kali ini sedikit formal dengan Ruangan Konklusi Idea yang selalunya terdedah dengan topik yang santai tetapi inilah norma hidup. Kadangkala bila sampai masanya, kita pasti mempunyai sesuatu yang ingin diluahkan. Sesuatu yang terbuku dan tergumpal dalam diri tetapi tidak dapat disampaikan kepada khalayak umum kerana khuatir ada antaranya yang akan keliru dengan bual bicaranya. Untuk RKI, disinilah ruang dan peluang yang ada untuk diri ini salurkan pandangan yang ada berdasarkan pengalaman daripada memerhati, mengalami seterusnya meneliti corak kehidupan. Sampai di sini saja, "teruskan mengembara, hikmah... ada di mana-mana".


*Jangan lupa tinggalkan komen anda di bawah ya. Selamat tidur semua.  

Jumaat, 2 Jun 2017

Dwi Pilihan

Dalam pemilihan laluan hidup kali ini, RKI didedahkan dengan beberapa cabang kesukaran untuk meletakkan satu-satu tindakan. Kita bercakap mengenai hal hidup dimana, membelenggu seseorang manusia itu sehingga bergelumang dalam situasi dilemma. Disebabkan setiap hari manusia melalui proses memilih, maka sesetengahnya lebih memilih untuk tidak berfikir panjang. Sebahagian lainnya mengambil pendekatan untuk menganalisis, timbang-tara, berdiskusi dengan keluarga, rakan malah orang yang tersayang dalam menentukan keputusan.

Inilah dia dilemma sehari-hari kita. Dan sebagai manusia, RKI telah dan sedang melalui proses dwi pilihan. Ada antaranya membuatkan RKI tidak cukup tidur dalam memutuskan sesuatu, dan keadaan selebihnya membawa RKI dalam pengembaraan yang agak santai, kerana dwi pilihannya tidaklah terlalu berat. 

Jadi pesan RKI, kalau ada keadaan berat yang memaksa kamu untuk membuat keputusan, jangan malu dan segan untuk berbual dengan sesiapa yang kamu sendiri percayai dalam usaha mencapai keputusan yang tepat, sesuai dengan situasi, tempat, masa dan perasaan kamu. 

Khamis, 25 Mei 2017

Hero Seorang Cinderella dan Senario Master Plot Malaysia

Drama dan televisyen tidak dapat dipisahkan. Mana tidaknya, inilah perkara yang perlu dititikberatkan oleh stesen televisyen untuk memastikan kewujudan mereka itu kekal relevan di mata masyarakat. Justeru, RKI kali ini mengecilkan skop dengan mengulas sedikit mengenai drama Hero Seorang Cinderella dan senario master plot Malaysia. Untuk tayangan minggu pertama drama arahan Michael Ang ini, kita dapat saksikan kepelbagaian watak yang cuba digarapkan dengan meletakkan elemen kekeluargaan, perniagaan dan gaya hidup moden. Drama yang berdurasi satu jam yang bersiaran di Astro Ria ini diselangi dengan empat slot iklan membolehkan penonton menikmati kisah percintaan hero dan heroin secara santai tanpa perlu terpacak di depan televisyen terlalu lama.

Sebagai seorang individu yang pernah terlibat dalam produksi, terutamanya di belakang tabir, RKI dapati potensi drama ini akan menyerlah tidak lama lagi. Hal ini demikian kerana gubahan skrip oleh Nazri M. Annuar & Fairul Nizam Ablah setakat ini kelihatan telah berjaya menarik minat penonton. Tidak mudah untuk menghasilkan skrip dengan gaya santai dan bersahaja dialognya kerana setiap penulis mempunyai halangan 'mendapatkan dialog yang berkesan'. Namun, kelainan corak dialog dalam drama ini dilihat mampu membawa penonton untuk kekal mengikut pengembaraan hero dan heroinnya. Dengan populariti yang ada pada Fattah Amin dan Fazura, maka sudah tentu menjadi satu catalyst kepada drama yang bakal menjadi fenomena tidak lama lagi. 

Namun satu perkara yang kita sedia maklum, penggunaan master plot - cinta jejaka kaya dan gadis yang ditimpa musibah / cinta gadis anak golongan aristokrat dengan jejaka yang bekerja sebagai pekebun masih lagi menjadi kegemaran masyarakat kita sehingga kini. Tidak tahu mengapa, tetapi plot penceritaan sebeginilah yang disukai oleh penonton, malah membantu stesen televisyen untuk naikkan rating rancangan mereka. Antara punca lambakan drama bercorak percintaan dan krisis keluarga wujud dalam negara kita. Bukan sahaja drama-drama terbitan Astro yang menghidangkan gaya penceritaan yang lebih kurang sama, tetapi stesen-stesen televisyen lain juga turut serta tidak mahu ketinggalan dalam menyajikan cerita sedemikian rupa.

Ada kemungkinan master plot yang lain akan muncul dalam dua tiga tahun mendatang, bergantung juga pada penerimaan penonton dan rating stesen televisyen terbabit. Boleh cuba tonton drama daripada negara lain yang mengetengahkan kisah doktor misalnya, atau mungkin juga kisah detektif yang cuba menyelesaikan misteri. Sebagai pengkarya, kita seharusnya membuka peluang kepada penonton untuk merasai cerita yang berlainan dari kebiasaan. Namun tanggungjawab ini tidak terhad hanya kepada pengkarya, tetapi juga melibatkan penonton secara khususnya. Perlu ada sokongan yang mantap untuk perubahan corak dalam usaha menghidangkan drama yang berbeza. Tidak salah menyelitkan isu percintaaan terhalang dan sebagainya kerana itu salah satu fitrah manusia. Cuma dicadangkan supaya kita membuka peluang kepada hidangan drama selain daripada kisah cinta yang kebanyakan orang awam istilahkan sebagai 'drama klise' kepada drama yang mungkin dikatakan sebagai 'drama lain dari yang lain'.

RKI yakin, kita boleh sebenarnya. Ayuh kerjasama, penonton-pengkarya-penerbit!

Rabu, 22 Mac 2017

Respon RKI Pada Gadis Cun SPM

RKI tertarik dengan topik yang viral baru-baru ini apabila kebanyakan netizen tidak senang duduk dek kerana gadis SPM bergaya cantik, mengalahkan gadis-gadis dewasa yang sudah pun berkerjaya. Topik perbualan sebegitu menjadi hangat di media sosial sehingga ramai yang share post mengenai gadis terbabit termasuklah ada antaranya yang sanggup mencari instagram gadis tersebut.

Nah, di sini persoalan etika kemanusiaan RKI nak sentuh. Tak salah untuk mengenali peribadi gadis tersebut cuma yang anehnya, mereka terlampau obses sehinggakan ada pihak-pihak nak ambil kesempatan dalam situasi ini. Membuat akaun instagram palsu dengan meletakkan gambar gadis tersebut dilihat sebagai 'curi peluang' ketika topik ini masih viral. 

RKI pun tak kenal secara terperinci, siapakah gadis cun itu namun hanya nak pesan, berpada-padalah dalam menggunakan laman sosial. Cubalah rasa bertanggungjawab pada diri sendiri dengan tidak mengeksploitasi orang lain. Nak kawan dengan gadis tersebut, silakan. Tapi kalau dah sampai buat akaun instagram palsu tu, pada RKI itu dah keterlaluan.

Apa-apa pun, selamat maju jaya buat gadis cun viral SPM 2017 ni. Andai ada terbaca artikel ini, pesan saya, semoga kamu maju jaya dalam lapangan yang akan diceburi nanti. Jangan lupa berlatih main catur ya. Jaga diri.

Sekian. 

Selasa, 28 Februari 2017

Sampai

Sebelum ni, RKI sempat berfikir macam mana nak jadi orang dewasa? Bagaimana cara hidup dan apa yang akan dilalui sepanjang bergelar dewasa?

Sampailah satu ketika di mana RKI sendiri termenung sendirian, mengenangkan pengalaman yang lepas-lepas. Sampailah ternampak time-image diri sendiri melihat usia Umi Ayah yang semakin meningkat, adik beradik makin membesar dan tak lama lagi bakal mendirikan rumah tangga, dan aku menyaksikan sendiri semua perkara tu seolah-olah aku di satu tempat, dikelilingi dengan visual masa yang berputar, macam dalam filem Tomorrowland. 

Sampai satu ketika RKI perlahan-lahan menggalas tanggungjawab yang diberikan Tuhan barulah kesedaran itu muncul. Tak semudah yang disangka untuk hidup gaya orang dewasa. Cuma menariknya bila kita dah dewasa ni, kita dah kurang nak terganggu dengan benda remeh-temeh, kurang kisah kalau makan seorang diri di restoran, dan tak risau kalau masih single. Ini secebis rentetan hidup RKI yang mungkin ada persamaan dengan kehidupan kamu.

Sampailah apa yang akan dilalui menjelang dewasa itu RKI cuba hadamkan. Walaupun masih tak faham sesetengah perkara, RKI berlatih untuk jadi tabah, seterusnya cekal dalam hidup. Laluan yang berliku tu dah jadi normal sebab hari-hari kena fikir 'macam mana nak survive?', 'berbaloi pilih cara ni?' atau 'apa akibat di masa depan?'. Beberapa persoalan ni pasti timbul dalam senario harian kita, membolehkan manusia yang semakin bersedia, dari hari ke hari sehinggalah menuju ke tarikh luputnya nafas diri kita.

Apapun yang terjadi, kamu semua sempat sampai membaca coret-coret RKI yang masih bergelumang dengan proses mempelajari hidup. Sehingga lengkapnya penulisan ini, kamu semua sampai ke sini dengan izinNya juga. Tak mengapa, jangan terasa lewat untuk berlatih menjadi tabah dan cekal, sebabnya sifat sabar memang sudah sedia ada dalam diri setiap insan. Cuma terpulang pada diri sendiri, sama ada nak gilap sabar itu dan tingkatkan tahapnya kepada tabah, seterusnya cekal, atau biarkan terkapai-kapai dalam ombak dunia. Pilihan di tangan kamu semua.

Tin Klik-Kluk