Tin Besar

Tin Tong

Rabu, 2 Ogos 2017

Santun Dalam Melakukan Kerja

Sebagai seorang insan yang tidak terlepas daripada menghadapi masyarakat, kita sentiasa akan berdepan dengan pelbagai kerenah dalam menyiapkan tugasan masing-masing. Sejauh mana beratnya tugasan itu, atau sekecil mana pun peranan yang kita galas, hal itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita tidak menggunakan santun dalam bicara mahupun tindakan. Sama ada tugas kita sekecil-kecil semut, sehinggalah sebesar-besar gajah sekalipun, setiap individu itu berperanan dalam pembentukan masyarakat. Justeru, RKI ingin beri sedikit pandangan berkaitan perkara ini. 

Jika anda mempunyai halangan, misalnya di tempat kerja. Boleh jadi halangan yang anda hadapi berbentuk arahan yang tidak jelas disampaikan kepada anda. Tindakan yang sepatutnya dilakukan adalah dengan cara anda bersoal jawab semula dengan individu tersebut dalam usaha untuk memahami tugas yang sedang diberi. Hal ini diyakini efektif jika si pemberi arahan dan si penerima arahan duduk dalam ruang ‘menjelaskan tugasan dengan terperinci’ atau dalam ruang ‘mencari titik penyelesaian’. Namun sekiranya keadaan berlaku sebaliknya, ada beberapa langkah yang berpotensi untuk diambil kira. 

Satu daripadanya adalah dengan menjalankan juga tanggungjawab walaupun arahan yang diberi agak tidak jelas. Nah, di sini ada sedikit kurang selesa buat anda. Hal ini kerana dengan menerima arahan sebegini, sudah pasti anda tidak akan berpuas hati dengan apa yang anda lakukan lantas lebih menjurus kepada tindakan memaki hamun, marah, seterusnya hilang mood dalam proses ingin menyiapkan tugasan. Pendek kata, santun dalam diri lambat laun akan terhakis dek kerana sentiasa diserang bertubi-tubi dengan perasaan tidak selesa ini. 

Selain itu, anda boleh juga menguatkan jati diri untuk menjaga santun anda dengan cara menenangkan diri. Cari jalan untuk tidak marah dan fikir ke arah positif. Di situ akan menguatkan lagi jati diri anda untuk terus produktif dalam menggalas tugasan yang diberi. Malah, boleh jadi anda slow talk dengan majikan anda jika tanggungjawab anda terlalu rumit, cuba berbincang untuk mendapatkan kesepakatan dalam berkerja. Hal ini boleh meningkatkan produktiviti kalian di tempat kerja. Jangan khuatir untuk berdialog dengan majikan anda kerana kalian saling memerlukan dalam satu bumbung organisasi. Namun, senario yang paling buruk adalah dengan cara anda memberikan notis 3 minggu awal untuk melepaskan jawatan yang sedang anda galas. Tindakan ini lebih efektif buat anda seandainya anda sudah rasa terbeban dengan suasana tempat kerja sedemikian rupa. 

Beberapa cadangan diatas barangkali berguna buat sesetengah individu sahaja kerana setiap daripada kita mempunyai cara yang berbeza. Cuma RKI nak tekankan disini adalah sikap santun perlu diutamakan walaupun kita sedang mendepani cabaran getir. Sedangkan Rasulullah juga bersopan santun dalam tutur bicaranya, tingkah lakunya malah menjaga adab dengan orang yang memusuhinya, apatah lagi kita manusia yang sentiasa melakukan kesilapan setiap hari dalam hidup kita. Oleh itu, tingkatkan santun dalam peribadi, supaya kita punya jati diri. 

Tiada ulasan :

Tin Klik-Kluk