Tin Besar

Tin Tong

Khamis, 25 Mei 2017

Hero Seorang Cinderella dan Senario Master Plot Malaysia

Drama dan televisyen tidak dapat dipisahkan. Mana tidaknya, inilah perkara yang perlu dititikberatkan oleh stesen televisyen untuk memastikan kewujudan mereka itu kekal relevan di mata masyarakat. Justeru, RKI kali ini mengecilkan skop dengan mengulas sedikit mengenai drama Hero Seorang Cinderella dan senario master plot Malaysia. Untuk tayangan minggu pertama drama arahan Michael Ang ini, kita dapat saksikan kepelbagaian watak yang cuba digarapkan dengan meletakkan elemen kekeluargaan, perniagaan dan gaya hidup moden. Drama yang berdurasi satu jam yang bersiaran di Astro Ria ini diselangi dengan empat slot iklan membolehkan penonton menikmati kisah percintaan hero dan heroin secara santai tanpa perlu terpacak di depan televisyen terlalu lama.

Sebagai seorang individu yang pernah terlibat dalam produksi, terutamanya di belakang tabir, RKI dapati potensi drama ini akan menyerlah tidak lama lagi. Hal ini demikian kerana gubahan skrip oleh Nazri M. Annuar & Fairul Nizam Ablah setakat ini kelihatan telah berjaya menarik minat penonton. Tidak mudah untuk menghasilkan skrip dengan gaya santai dan bersahaja dialognya kerana setiap penulis mempunyai halangan 'mendapatkan dialog yang berkesan'. Namun, kelainan corak dialog dalam drama ini dilihat mampu membawa penonton untuk kekal mengikut pengembaraan hero dan heroinnya. Dengan populariti yang ada pada Fattah Amin dan Fazura, maka sudah tentu menjadi satu catalyst kepada drama yang bakal menjadi fenomena tidak lama lagi. 

Namun satu perkara yang kita sedia maklum, penggunaan master plot - cinta jejaka kaya dan gadis yang ditimpa musibah / cinta gadis anak golongan aristokrat dengan jejaka yang bekerja sebagai pekebun masih lagi menjadi kegemaran masyarakat kita sehingga kini. Tidak tahu mengapa, tetapi plot penceritaan sebeginilah yang disukai oleh penonton, malah membantu stesen televisyen untuk naikkan rating rancangan mereka. Antara punca lambakan drama bercorak percintaan dan krisis keluarga wujud dalam negara kita. Bukan sahaja drama-drama terbitan Astro yang menghidangkan gaya penceritaan yang lebih kurang sama, tetapi stesen-stesen televisyen lain juga turut serta tidak mahu ketinggalan dalam menyajikan cerita sedemikian rupa.

Ada kemungkinan master plot yang lain akan muncul dalam dua tiga tahun mendatang, bergantung juga pada penerimaan penonton dan rating stesen televisyen terbabit. Boleh cuba tonton drama daripada negara lain yang mengetengahkan kisah doktor misalnya, atau mungkin juga kisah detektif yang cuba menyelesaikan misteri. Sebagai pengkarya, kita seharusnya membuka peluang kepada penonton untuk merasai cerita yang berlainan dari kebiasaan. Namun tanggungjawab ini tidak terhad hanya kepada pengkarya, tetapi juga melibatkan penonton secara khususnya. Perlu ada sokongan yang mantap untuk perubahan corak dalam usaha menghidangkan drama yang berbeza. Tidak salah menyelitkan isu percintaaan terhalang dan sebagainya kerana itu salah satu fitrah manusia. Cuma dicadangkan supaya kita membuka peluang kepada hidangan drama selain daripada kisah cinta yang kebanyakan orang awam istilahkan sebagai 'drama klise' kepada drama yang mungkin dikatakan sebagai 'drama lain dari yang lain'.

RKI yakin, kita boleh sebenarnya. Ayuh kerjasama, penonton-pengkarya-penerbit!

Tin Klik-Kluk