Tajuknya saja nampak gaya mendekati corak penulisan akademik. Namun begitu, kita di Ruangan Konklusi idea ini akan cuba huraikannya dengan penuh santai tapi sampai. Yang penting isinya, bukan kulitnya. Kalau kulitnya berkhasiat, barulah kita selitkan sedikit buat renungan.
Sebagai seorang jejaka yang semakin mendekati tarikh luputnya, perlulah kiranya diberi pesanan buat diri sendiri supaya terus-terusan untuk positif dalam apa jua cabaran hidup yang mendatang. Mana tidaknya, kekuatan ini tidak akan lahir dengan sendirinya. Perlu dilatih, disemai seterusnya akan bercambah dalam diri. Berbalik pada tajuk, tiga elemen iaitu keluarga, sahabat dan masa adalah unsur yang saling berkait rapat dalam memberi rangsangan pada seseorang individu.
Keluarga misalnya, mencerminkan asas jati diri seorang insan. Jika kuat asas keluarganya, sudah tentu kuat jugalah peribadinya. Buat RKI secara peribadi, keluarga adalah sebuah tempat dan ruang untuk RKI bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai perkara. Paling penting, mereka ini bertindak sebagai 'supporting sensor ' buat kita. Tidak hairanlah orang-orang yang telah berjaya itu dibayangi oleh keturunan keluarga yang sangat membina keyakinan dan ketahanan dirinya.
Jika keluarga mencerminkan asas jati diri, sahabat pula bertindak sebagai cerminan amali. Iyalah, cuba bayangkan kalau seseorang itu disekelilingi dengan suasana sikap kasar, sudah tentu apabila berhadapan dengan sahabat akan bertindak kasar. Begitu juga sebaliknya, seandainya seseorang itu sudah terbiasa santun dalam bicara, mudah untuk membantu sahabat, sudah tentu akan menghasilkan sebuah komuniti masyarakat yang positif. Hal ini demikian kerana corak amalan kita dipengaruhi oleh kenalan kerana secara puratanya kita lebih cenderung bergaul dengan mereka lebih lama.
Namun begitu, kedua-dua elemen diatas memerlukan masa untuk dilentur. Keluarga yang kukuh memerlukan masa untuk membentuknya. Sahabat yang utuh perlukan masa untuk kita sama-sama saling percaya, saling membina keyakinan(bonding). Malah, masa ini perlu dibahagi-bahagikan supaya keluarga dan sahabat ini dapat diberikan layanan yang setimpal, seiring dengan sumbangan mereka kepada kita. Andai kata sudah cukup masa buat mereka, kita bolehlah kembali fokus pada masa peribadi kita. Ingat, diri sendiri juga mesti diutamakan. Berilah masa buat diri sendiri untuk menikmati ruangnya hasil daripada penat lelah kita sepanjang melakukan kerja, sebarang aktiviti dan sebagainya.
Pendek kata, ketiga-tiga elemen di atas saling berkait rapat dalam kehidupan seharian kita. Sampai masanya nanti, seorang demi seorang daripada kita akan menemui tarikh luput mereka sendiri. Sementara kesempatan ada, moleklah kiranya kita luangkan barang seminit dua ataupun semana mampu kita dengan keluarga, sahabat juga diri kita. Insya Allah, ada berkatnya daripada amalan baik itu.
2 ulasan :
Sokong.
Masa mula2 start bisnes dulu, family yang banyak support.. diorang beli macam2. Sampai ke hari ni diorang membeli lagi hehe..
Iya betul tu, Ain Zulaikha. Mereka jarang nak kata tidak kalau kita perlukan sokongan.
Catat Ulasan