Tin Besar

Tin Tong

Selasa, 15 Ogos 2017

Antara Keluarga, Sahabat dan Masa

Tajuknya saja nampak gaya mendekati corak penulisan akademik. Namun begitu, kita di Ruangan Konklusi idea ini akan cuba huraikannya dengan penuh santai tapi sampai. Yang penting isinya, bukan kulitnya. Kalau kulitnya berkhasiat, barulah kita selitkan sedikit buat renungan.

                Sebagai seorang jejaka yang semakin mendekati tarikh luputnya, perlulah kiranya diberi pesanan buat diri sendiri supaya terus-terusan untuk positif dalam apa jua cabaran hidup yang mendatang. Mana tidaknya, kekuatan ini tidak akan lahir dengan sendirinya. Perlu dilatih, disemai seterusnya akan bercambah dalam diri. Berbalik pada tajuk, tiga elemen iaitu keluarga, sahabat dan masa adalah unsur yang saling berkait rapat dalam memberi rangsangan pada seseorang individu. 

                Keluarga misalnya, mencerminkan asas jati diri seorang insan. Jika kuat asas keluarganya, sudah tentu kuat jugalah peribadinya. Buat RKI secara peribadi, keluarga adalah sebuah tempat dan ruang untuk RKI bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai perkara. Paling penting, mereka ini bertindak sebagai 'supporting sensor ' buat kita. Tidak hairanlah orang-orang yang telah berjaya itu dibayangi oleh keturunan keluarga yang sangat membina keyakinan dan ketahanan dirinya. 

              Jika keluarga mencerminkan asas jati diri, sahabat pula bertindak sebagai cerminan amali. Iyalah, cuba bayangkan kalau seseorang itu disekelilingi dengan suasana sikap kasar, sudah tentu apabila berhadapan dengan sahabat akan bertindak kasar. Begitu juga sebaliknya, seandainya seseorang itu sudah terbiasa santun dalam bicara, mudah untuk membantu sahabat, sudah tentu akan menghasilkan sebuah komuniti masyarakat yang positif. Hal ini demikian kerana corak amalan kita dipengaruhi oleh kenalan kerana secara puratanya kita lebih cenderung bergaul dengan mereka lebih lama.

             Namun begitu, kedua-dua elemen diatas memerlukan masa untuk dilentur. Keluarga yang kukuh memerlukan masa untuk membentuknya. Sahabat yang utuh perlukan masa untuk kita sama-sama saling percaya, saling membina keyakinan(bonding). Malah, masa ini perlu dibahagi-bahagikan supaya keluarga dan sahabat ini dapat diberikan layanan yang setimpal, seiring dengan sumbangan mereka kepada kita. Andai kata sudah cukup masa buat mereka, kita bolehlah kembali fokus pada masa peribadi kita. Ingat, diri sendiri juga mesti diutamakan. Berilah masa buat diri sendiri untuk menikmati ruangnya hasil daripada penat lelah kita sepanjang melakukan kerja, sebarang aktiviti dan sebagainya.

                Pendek kata, ketiga-tiga elemen di atas saling berkait rapat dalam kehidupan seharian kita. Sampai masanya nanti, seorang demi seorang daripada kita akan menemui tarikh luput mereka sendiri. Sementara kesempatan ada, moleklah kiranya kita luangkan barang seminit dua ataupun semana mampu kita dengan keluarga, sahabat juga diri kita. Insya Allah, ada berkatnya daripada amalan baik itu.

Jumaat, 4 Ogos 2017

Sudut Cip Cerpen - Sofea dan Irah

Jarum jam menunjukkan tepat pukul enam petang. Terlihat kelibat Sofea dan Irah sudah bersiap-siap dengan barang mereka, sesekali terdengar omelan kecil mereka betapa gembiranya ingin pulang ke kampung halaman. Lebih menarik apabila mereka kini dapat bercuti lama. Semuanya gara-gara halangan sebuah lembaga hitam yang tidak membenarkan mereka pulang. Mujur ada Pak Kazim yang bijak mnggunakan kepakaran yang ada untuk meloloskan kedua-dua gadis ini. Mereka sangat gembira, jauh sekali untuk melegakan sesak nafas yang ada sebelum ini akibat keletihan berlatih sekian lama di laman.

               Irah yang lebih bertindak seperti seorang kakak yang begitu protective pastinya tidak akan membiarkan lagi Sofea dan dirinya diganggu lembaga hitam. Jadi kali ini mereka menggunakan pesan Pak Kazim supaya sentiasa mengamalkan tiga perkara; gunakan akal, santun dalam bicara serta berkerjasama. Tiga amalan ini sangat memberi kesan pada Sofea dan Irah. Lebih-lebih lagi Irah yang sudah lama terlatih sejak kecil kerana dia merupakan antara anak harapan dalam keluarganya. Manakala Sofea lebih manja dan bersikap keadik-adikan kerana sudah terbiasa, senang segala segi dari hidup. Kedua-duanya mempunyai latar belakang keluarga yang berbeza, bagai langit dan bumi.

               Hari semakin malap, matahari juga hampir selesai tugasnya. Dua gadis dalam perjalanan menuju ke Klang, amat riang diiringi gelak tawa sewaktu dalam bas. Tidak semena-mena, mereka dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Nombor yang tak dikenali muncul di skrin telefon. Dalam takut-takut, Sofea mengangkat juga telefonnya.

“Hai... kenapa menghilang?”,suara garau yang keluar dari telefon.

‘Saya...’, jawab Sofea tersekat-sekat. 

               Sofea yang teragak-agak nak meneruskan perbualan, hanya terdiam dan menoleh ke kirinya. Melihat tindakan aneh itu, Ira dengan cepat dan tangkas mengambil telefon Sofea lalu menamatkan panggilan. Sofea hanya tergamam diam, kelu tak terkata. Irah yang perasan keadaan itu hanya diam, memberi ruang buat Sofea berehat. Irah kembali menghalakan pandangannya ke luar tingkap bas. Melihat Irah yang sedang termenung panjang itu, Sofea perlahan-lahan membuka zip beg tangannya. Dia mengeluarkan sekeping kertas.


*bersambung

Rabu, 2 Ogos 2017

Santun Dalam Melakukan Kerja

Sebagai seorang insan yang tidak terlepas daripada menghadapi masyarakat, kita sentiasa akan berdepan dengan pelbagai kerenah dalam menyiapkan tugasan masing-masing. Sejauh mana beratnya tugasan itu, atau sekecil mana pun peranan yang kita galas, hal itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita tidak menggunakan santun dalam bicara mahupun tindakan. Sama ada tugas kita sekecil-kecil semut, sehinggalah sebesar-besar gajah sekalipun, setiap individu itu berperanan dalam pembentukan masyarakat. Justeru, RKI ingin beri sedikit pandangan berkaitan perkara ini. 

Jika anda mempunyai halangan, misalnya di tempat kerja. Boleh jadi halangan yang anda hadapi berbentuk arahan yang tidak jelas disampaikan kepada anda. Tindakan yang sepatutnya dilakukan adalah dengan cara anda bersoal jawab semula dengan individu tersebut dalam usaha untuk memahami tugas yang sedang diberi. Hal ini diyakini efektif jika si pemberi arahan dan si penerima arahan duduk dalam ruang ‘menjelaskan tugasan dengan terperinci’ atau dalam ruang ‘mencari titik penyelesaian’. Namun sekiranya keadaan berlaku sebaliknya, ada beberapa langkah yang berpotensi untuk diambil kira. 

Satu daripadanya adalah dengan menjalankan juga tanggungjawab walaupun arahan yang diberi agak tidak jelas. Nah, di sini ada sedikit kurang selesa buat anda. Hal ini kerana dengan menerima arahan sebegini, sudah pasti anda tidak akan berpuas hati dengan apa yang anda lakukan lantas lebih menjurus kepada tindakan memaki hamun, marah, seterusnya hilang mood dalam proses ingin menyiapkan tugasan. Pendek kata, santun dalam diri lambat laun akan terhakis dek kerana sentiasa diserang bertubi-tubi dengan perasaan tidak selesa ini. 

Selain itu, anda boleh juga menguatkan jati diri untuk menjaga santun anda dengan cara menenangkan diri. Cari jalan untuk tidak marah dan fikir ke arah positif. Di situ akan menguatkan lagi jati diri anda untuk terus produktif dalam menggalas tugasan yang diberi. Malah, boleh jadi anda slow talk dengan majikan anda jika tanggungjawab anda terlalu rumit, cuba berbincang untuk mendapatkan kesepakatan dalam berkerja. Hal ini boleh meningkatkan produktiviti kalian di tempat kerja. Jangan khuatir untuk berdialog dengan majikan anda kerana kalian saling memerlukan dalam satu bumbung organisasi. Namun, senario yang paling buruk adalah dengan cara anda memberikan notis 3 minggu awal untuk melepaskan jawatan yang sedang anda galas. Tindakan ini lebih efektif buat anda seandainya anda sudah rasa terbeban dengan suasana tempat kerja sedemikian rupa. 

Beberapa cadangan diatas barangkali berguna buat sesetengah individu sahaja kerana setiap daripada kita mempunyai cara yang berbeza. Cuma RKI nak tekankan disini adalah sikap santun perlu diutamakan walaupun kita sedang mendepani cabaran getir. Sedangkan Rasulullah juga bersopan santun dalam tutur bicaranya, tingkah lakunya malah menjaga adab dengan orang yang memusuhinya, apatah lagi kita manusia yang sentiasa melakukan kesilapan setiap hari dalam hidup kita. Oleh itu, tingkatkan santun dalam peribadi, supaya kita punya jati diri. 

Tin Klik-Kluk