Tin Besar

Tin Tong

Rabu, 25 Februari 2015

Perbincangan Mengenai Ego

Memikirkan soal kebaikan merupakan fitrah setiap manusia, hatta seseorang yang bersikap jahat sekalipun, tetap ada sekelumit niat kebaikan daripadanya. Begitulah resam jiwa yang fitrah.

Namun begitu, di zaman kerosakan umat ini, tidak ramai insan yang suka ditegur, apatah lagi 'diceramah' secara tiba-tiba tentang galakan membuat kebaikan. Di sini, kita dapat lihat di mana letaknya satu lagi sifat yang ada di dalam diri kita iaitu ego. Keegoan seseorang bergantung pada kefahaman, cara berfikir, persekitaran malah bagaimana seseorang itu dapat mengawal tahap egonya. Kalau ikutkan teori, ego terbahagi kepada 3, iaitu Id, Ego, dan Super Ego. Sebaliknya, RKI tidak akan menjurus pada teori itu tetapi ingin mengajak anda untuk berfikir sejenak di dalam Taman Ruangan Konklusi Idea ini.

Cuba kita lihat pada keadaan sehari-harian kita, apakah kita dapat kekal bertahan dengan dugaan dan cabaran itu, atau kita terus melenting dan mula merasakan kita lebih betul berbanding si polan? Nah, di sini kita boleh mulakan ukuran pada diri. Seandainya kita mula rasa nak marah, atau kita fikir kita saja betul padahal si polan juga ada hujah yang betul, dan kita pula mula menunjukkan keilmuan yang kita ada dengan mengikut perasaan amarah itu, fikir kita cukup hebat, dikhuatiri kita telah terjerumus ke fasa ego yang negatif ini. Sebenarnya wahai kawan dan teman pembaca, peratusan orang yang berfikir sejenak, mena'kul(membuat pertimbangan), berusaha memilih untuk menggunakan cara kata-kata berhikmah dalam memberi respond dengan hanya senyuman / berdiam diri sangatlah rendah di zaman ini.  Mana tidaknya, kita lebih memilih untuk terus memberi pantulan dengan sesuatu perkara mahupun isu.

(Reaksi kucing apabila terancam.)

Di Taman RKI yang ditemani dengan keindahan pokok Rozzel, pokok Jagung dan serangga-serangga seperti lebah kelulut, ladybird malah kucing yang comel ni, teman nak mengajak kita untuk menghayati suatu pesanan orang-orang alim.  Apa pesanan itu? Marilah kita menganjurkan sikap berlapang dada. Tak rugi kalau kita berbuat baik sesama manusia, berlapang dada. Kalau kata kita ternampak kawan kita update status facebook mahupun twitter yang berbaur busuk hati, tak salah nak tegur tapi biarlah bercara. Mungkin dengan langkah paling afdhal, kita PM(Private Message) atau DM (Direct Message) dia secara persendirian. Insya Allah, pasti mujarab dan berhikmah, namun kalau berlaku sebaliknya, teguran ditolak dan dimarah, anggaplah itu ujian daripada Allah untuk melatih kita bersabar.

Paling penting, hormati pendirian orang, jangan memaksa walaupun ingin mengajak ke arah kebaikan. Ambil pendekatan Baginda Nabi S.A.W. yang berdakwah secara lemah lembut, penuh tertib diselangi dengan hikmah dan mutiara kata, lambat laun dengan rahmat Allah pasti apa yang hendak disampaikan masuk dan terus melekat pada hati-hati yang merindui ketenangan yang kekal abadi. Dengan itu, jom! Jom kita sama-sama cuba perbaiki dan kawal ego kita, walau setinggi mana ilmu kita, walau sehebat mana kemahiran kita, kita kena tanam dalam hati, ini semua bukan milik kita. Tapi Allah yang punya.

Jom kita bersikap berlapang dada dengan mengamalkan konsep, fikir, risau, bimbang akan nasib kita di sana dan diiringi dengan zikir. Insya Allah. 


Kata Iwan Syahman, "Semua Allah Punya"

Rabu, 18 Februari 2015

Chinese New Year dah dekat

Perayaan di Malaysia sekali lagi menjadi meriah dengan rakan-rakan yang berbangsa Cina kita menyambut tahun baru mereka, tidak lama lagi. Selamat bercuti ya! Disebabkan lebuh raya dan jalan-jalan utama bakal sibuk menjelang cuti ini, maka RKI nak cadangkan bahawa kamu semua ikutlah jadual perancangan yang disediakan oleh pihak PLUS. Sekurang-kurangnya, dapatlah kita hadiahkan sikit usaha kita untuk membantu bagi melancarkan perjalanan. Atau pun, pakat ramai-ramai pulang menaiki kenderaan awam, bas, keretapi, atau car pooling, pasti kegembiraan sama dikongsi.

Dalam menuju penghujung bulan, Taman RKI masih lagi dalam proses penambah baikan. Almaklumlah, blog ni sudah kurang aktif, malah tidak ada perkongsian yang menarik lagi membuka minda daripada teman untuk kamu semua. Maafkan teman kerana 'rasa' itu sudah lama berlalu, rasa menulis dan berkongsi melalui blog ini. Hal ini kerana mungkin kegirangan menulis sudah terhakis.

Apa-apa pun, walau jarang sekali menulis di Ruangan Konklusi Idea ini, amatlah diharapkan bahawa, paling tidak pun, sebulan teman dapat coretkan 3 ke 4 entry, agar pembaca atau peminat blog ini (kalau ada) dapat menikmati bahan bacaan baru.

Semalam dapat berita daripada seorang kenalan tentang peluang untuk jadi volunteer. Esok malam pula teman akan mulakan sesi kembara hikmah selama 3 hari bersama saudara-saudara yang lain. Dan, malam ini, teman sempat dihubungi oleh rakan dalam membincangkan tentang perniagaan kecil-kecilan. Harapnya, semoga Allah melancarkan semua urusan baik buat kalian semua, kawan-kawan, kenalan, insan-insan yang disayang dan menyayangi teman, serta buat diri RKI juga.

Selamat bercuti, 
ada rezeki, 
jangan lupa kongsi.

Khamis, 5 Februari 2015

Kita Mulakan Februari 2015

Bulan Februari baru sahaja bermula. Dan... secara jujurnya teman masih tidak berpeluang dalam mendapatkan kerja. Baik yang part time mahupun full time, kedua-dua itu kelihatan mustahil buat masa ini. Jadi, apa yang patut RKI lakukan?

Disebabkan kekangan-kekangan ini, maka dengan itu saya mulakan langkah untuk 'menghayati cuti' dengan sebenar-benarnya. Dalam erti kata lain, melalui hari-hari cuti semester ini dengan berehat di rumah dan kadangkala keluar ke pekan. Iyalah kan, mungkin Allah nak suruh rehat dulu, bagi masa untuk diri sendiri dahulu sebelum diberikan tanggungjawab yang lain, yang bakal membuatkan diri ini sibuk.

Buat masa ini, rutin mingguan RKI adalah joging di petang hari dan di malamnya, menghadiri kuliah buat tambah sikit-sikit ilmu yang dah makin berkarat. Malah semalam, (Rabu 4.Feb), teman pergi menonton wayang filem Villa Nabila arahan Syafiq Yusof. Filem dokumentari re-enactment yang berjaya mengeluarkan diri daripada kepompong filem-filem kegemaran penonton di Malaysia. Secara peribadi, Syafiq Yusof berpotensi untuk menghasilkan filem yang bermutu di masa akan datang kerana karyanya kali ini diserikan dengan kesan bunyi yang kemas disamping visual dan jalan cerita yang tersusun. Walaupun ceritanya seperti cerita-cerita yang biasa didengar & dilihat, namun usaha beliau harus dihargai dengan pergi menonton beramai-ramai di panggung wayang. Dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah mendoakan beliau supaya tak sesat jalan (dalam erti kata lain, kekalkan momentum untuk menghasilkan karya bermutu). Ini merupakan filem pertama dalam bulan Februari yang saya tonton setelah lama merehatkan diri daripada pergi ke panggung wayang.

Setelah lama bersibuk-sibuk di kota sebelum ini, apa salahnya kalau beri peluang untuk diri sendiri menikmati masa lapang kan? Oleh itu, silakan saudara-saudari untuk mengambil sedikit ruang dan masa untuk diri sendiri. Jangan risau, masa tersebut tak terlalu lama, bahkan kawan-kawan akan faham kalau kita 'menyembunyi diri' sebegitu. Asyik nak jaga hati kawan, keluarga, dan orang sekeliling saja kan? Diri sendiri pun mahukan belaian juga.


Psss: Bulan Februari bulan kelahiran RKI. Kalau ada yang nak bagi hadiah, jangan segan-segan untuk zahirkan hasrat kamu ya! haha

Tin Klik-Kluk