Tin Besar

Tin Tong

Jumaat, 9 Januari 2015

Surat RKI kepada Steven Gerrard

Suatu ketika dahulu, seorang insan yang berkarisma ini mampu membuatkan budak-budak kecil bersemangat dalam bermain bola sepak. Baik daripada tak tahu main, sehinggalah yang mempunyai skill yang tinggi, ramai mata-mata yang mengimpikan bakat yang ada padanya. Malah, dia sungguh mahir dalam meniupkan semangat kepada rakan sepasukannya dan merupakan seorang ketua pasukan yang disegani baik di dalam kelab, mahupun di peringkat antarabangsa.

Pernah suatu ketika, pabila aku memasuki padang, mulalah aku 'memakai' watak sang ketua pasukan yang tegas, berani ke hadapan dalam memastikan usaha-usaha pencarian gol tidak sia-sia. Aku pernah melalui zaman di mana rakan-rakan sepermainan bola sepak tekun mendengar pandangan, nasihat dan kata semangat daripada aku ketika di padang. Ketika itu, idola aku inilah banyak mengajar supaya lebih sedar dan berhati-hati ketika di padang, dan sehinggakan ada ketika aku terbayang-bayang sedang memakai jersi bernombor 8 dan melakukan sepakan kencang jarak jauh daripada tengah yang cukup terkenal itu.

Hal ini adalah merupakan kisah nostalgia yang masih terpahat, kekal, dan terus dikenang walau usia menuju senja, ingatan menuju alpa, tenaga menuju lelah. Bagai mengimbau kenangan lama, aku terpaku dan termenung, apabila mendengar khabar bahawa Gerrard bakal meninggalkan Anfield. Agak rasa kehilangan sebenarnya apabila dia menyatakan hasrat sebegini kerana bagiku, biarlah dia kekal bersama Liverpool sehingga dia bersara. Tapi apakan daya, setiap manusia memilih jalan. Jalan yang bersimpang, pasti dilalu, walaupun padang lapang, tetap ada semalu.

Harapan kami di Anfield, semoga kamu berjaya di padang baru dan jangan dilupa kami disini. Steven Gerrard, terima kasih kerana memberi aku secubit semangat untuk menjadi insan yang optimis dan berani sehingga ke hari ini.


Taman RKI,
Peminat setia Liverpool
You'll Never Walk Alone

Tiada ulasan :

Tin Klik-Kluk