Tin Besar

Tin Tong

Jumaat, 30 Januari 2015

Tutup Buku Januari 2015

Seakan Formula 1... Bulan Januari yang kita semua lalui kini semakin menutup tirainya. Mana tidaknya, segelintir daripada masyarakat tidak menghairankan perjalanan bulan berganti bulan dalam sesebuah tahun, dek kerana sibuk melakukan hal masing-masing. Januari yang memenatkan!

Itulah kesimpulan yang boleh RKI katakan kerana di dalam bulan ini, kehidupan yang ditempuh seumpama berlari di atas treadmile... dan acap kali juga merasakan seakan-akan berlari pecut 100 meter. Nah, itulah resam orang nak berjaya. Kena berkorban, biar penat tidak cukup rehat asal ada sekelumit usaha daripada hanya bercakap-cakap kosong dan hasil pun tidak ada. Tak sangka, bulan ini berjaya membuahkan lagi sebuah karya filem pendek daripada Blackroses Production Team. Ditambah dengan tanaman RKI, (yakni pokok Jagung dan pokok Rozzel) telah subur, malah ada tanda-tanda bakal membuahkan hasil tanaman tidak lama lagi.


Bila mungkin hasilnya dapat di nikmati?

Untuk hadirin yang hadir di Taman Ruangan Konklusi Idea ini, disarankan untuk selalu berfikiran optimis. Jangan terlalu runsing dengan kesempitan wang dan kesukaran menyusun perbelanjaan mingguan. Cukup-cukuplah berada di minda yang cetek dan semakin mundur. Bak kata Elizabeth Tan, Waris dan Aizat Amdan;

Maju dan maju langkah ke hadapan ~ 
Anak mudaBangkitlah anak muda ~ 

Ya! Kita haruslah maju melangkah kerana di setiap pagi yang hening, ada rezeki buat manusia yang berusaha dan tahu erti berkorban. "Man jadda, wajada" (Siapa berusaha, dia akan dapat hasilnya). Oleh itu, ayuh sekalian yang sudi membaca untuk sama-sama kita bersemangat waja, maju dan terus melangkah. Semoga anda semua menjadi kaya hati dan kaya harta, Insya Allah. Dan ya, apa perancangan kamu semua untuk bulan Februari ni? Mana tahu, kita boleh berkongsi idea.


Isnin, 12 Januari 2015

Pesan buat Kekasih - 2

Wahai kekasihku walau di mana kamu berada, ingin diungkapkan madah penuh kesyahduan dalam meniti kisah-kisah keperibadian mulia gadis-gadis yang direstui Tuhan. Kamu janganlah khuatir bahawa setiap jodoh dan ketentuan itu, Dia Yang Maha Mengetahui yang uruskan. Tugas kita hanyalah mempersiapkan diri sebagai mukmin sejati supaya baik suami mahupun isteri, kedua-duanya saling perlu bertolak ansur. Kepada kamu bakal isteriku, semoga terus berbahagia dalam meneruskan kehidupan ini. Oh ya! Memang saya sedang berkarya. Jangan gundah gulana ya.

Jumaat, 9 Januari 2015

Surat RKI kepada Steven Gerrard

Suatu ketika dahulu, seorang insan yang berkarisma ini mampu membuatkan budak-budak kecil bersemangat dalam bermain bola sepak. Baik daripada tak tahu main, sehinggalah yang mempunyai skill yang tinggi, ramai mata-mata yang mengimpikan bakat yang ada padanya. Malah, dia sungguh mahir dalam meniupkan semangat kepada rakan sepasukannya dan merupakan seorang ketua pasukan yang disegani baik di dalam kelab, mahupun di peringkat antarabangsa.

Pernah suatu ketika, pabila aku memasuki padang, mulalah aku 'memakai' watak sang ketua pasukan yang tegas, berani ke hadapan dalam memastikan usaha-usaha pencarian gol tidak sia-sia. Aku pernah melalui zaman di mana rakan-rakan sepermainan bola sepak tekun mendengar pandangan, nasihat dan kata semangat daripada aku ketika di padang. Ketika itu, idola aku inilah banyak mengajar supaya lebih sedar dan berhati-hati ketika di padang, dan sehinggakan ada ketika aku terbayang-bayang sedang memakai jersi bernombor 8 dan melakukan sepakan kencang jarak jauh daripada tengah yang cukup terkenal itu.

Hal ini adalah merupakan kisah nostalgia yang masih terpahat, kekal, dan terus dikenang walau usia menuju senja, ingatan menuju alpa, tenaga menuju lelah. Bagai mengimbau kenangan lama, aku terpaku dan termenung, apabila mendengar khabar bahawa Gerrard bakal meninggalkan Anfield. Agak rasa kehilangan sebenarnya apabila dia menyatakan hasrat sebegini kerana bagiku, biarlah dia kekal bersama Liverpool sehingga dia bersara. Tapi apakan daya, setiap manusia memilih jalan. Jalan yang bersimpang, pasti dilalu, walaupun padang lapang, tetap ada semalu.

Harapan kami di Anfield, semoga kamu berjaya di padang baru dan jangan dilupa kami disini. Steven Gerrard, terima kasih kerana memberi aku secubit semangat untuk menjadi insan yang optimis dan berani sehingga ke hari ini.


Taman RKI,
Peminat setia Liverpool
You'll Never Walk Alone

Tin Klik-Kluk