Tin Besar

Tin Tong

Rabu, 25 Februari 2015

Perbincangan Mengenai Ego

Memikirkan soal kebaikan merupakan fitrah setiap manusia, hatta seseorang yang bersikap jahat sekalipun, tetap ada sekelumit niat kebaikan daripadanya. Begitulah resam jiwa yang fitrah.

Namun begitu, di zaman kerosakan umat ini, tidak ramai insan yang suka ditegur, apatah lagi 'diceramah' secara tiba-tiba tentang galakan membuat kebaikan. Di sini, kita dapat lihat di mana letaknya satu lagi sifat yang ada di dalam diri kita iaitu ego. Keegoan seseorang bergantung pada kefahaman, cara berfikir, persekitaran malah bagaimana seseorang itu dapat mengawal tahap egonya. Kalau ikutkan teori, ego terbahagi kepada 3, iaitu Id, Ego, dan Super Ego. Sebaliknya, RKI tidak akan menjurus pada teori itu tetapi ingin mengajak anda untuk berfikir sejenak di dalam Taman Ruangan Konklusi Idea ini.

Cuba kita lihat pada keadaan sehari-harian kita, apakah kita dapat kekal bertahan dengan dugaan dan cabaran itu, atau kita terus melenting dan mula merasakan kita lebih betul berbanding si polan? Nah, di sini kita boleh mulakan ukuran pada diri. Seandainya kita mula rasa nak marah, atau kita fikir kita saja betul padahal si polan juga ada hujah yang betul, dan kita pula mula menunjukkan keilmuan yang kita ada dengan mengikut perasaan amarah itu, fikir kita cukup hebat, dikhuatiri kita telah terjerumus ke fasa ego yang negatif ini. Sebenarnya wahai kawan dan teman pembaca, peratusan orang yang berfikir sejenak, mena'kul(membuat pertimbangan), berusaha memilih untuk menggunakan cara kata-kata berhikmah dalam memberi respond dengan hanya senyuman / berdiam diri sangatlah rendah di zaman ini.  Mana tidaknya, kita lebih memilih untuk terus memberi pantulan dengan sesuatu perkara mahupun isu.

(Reaksi kucing apabila terancam.)

Di Taman RKI yang ditemani dengan keindahan pokok Rozzel, pokok Jagung dan serangga-serangga seperti lebah kelulut, ladybird malah kucing yang comel ni, teman nak mengajak kita untuk menghayati suatu pesanan orang-orang alim.  Apa pesanan itu? Marilah kita menganjurkan sikap berlapang dada. Tak rugi kalau kita berbuat baik sesama manusia, berlapang dada. Kalau kata kita ternampak kawan kita update status facebook mahupun twitter yang berbaur busuk hati, tak salah nak tegur tapi biarlah bercara. Mungkin dengan langkah paling afdhal, kita PM(Private Message) atau DM (Direct Message) dia secara persendirian. Insya Allah, pasti mujarab dan berhikmah, namun kalau berlaku sebaliknya, teguran ditolak dan dimarah, anggaplah itu ujian daripada Allah untuk melatih kita bersabar.

Paling penting, hormati pendirian orang, jangan memaksa walaupun ingin mengajak ke arah kebaikan. Ambil pendekatan Baginda Nabi S.A.W. yang berdakwah secara lemah lembut, penuh tertib diselangi dengan hikmah dan mutiara kata, lambat laun dengan rahmat Allah pasti apa yang hendak disampaikan masuk dan terus melekat pada hati-hati yang merindui ketenangan yang kekal abadi. Dengan itu, jom! Jom kita sama-sama cuba perbaiki dan kawal ego kita, walau setinggi mana ilmu kita, walau sehebat mana kemahiran kita, kita kena tanam dalam hati, ini semua bukan milik kita. Tapi Allah yang punya.

Jom kita bersikap berlapang dada dengan mengamalkan konsep, fikir, risau, bimbang akan nasib kita di sana dan diiringi dengan zikir. Insya Allah. 


Kata Iwan Syahman, "Semua Allah Punya"

Rabu, 18 Februari 2015

Chinese New Year dah dekat

Perayaan di Malaysia sekali lagi menjadi meriah dengan rakan-rakan yang berbangsa Cina kita menyambut tahun baru mereka, tidak lama lagi. Selamat bercuti ya! Disebabkan lebuh raya dan jalan-jalan utama bakal sibuk menjelang cuti ini, maka RKI nak cadangkan bahawa kamu semua ikutlah jadual perancangan yang disediakan oleh pihak PLUS. Sekurang-kurangnya, dapatlah kita hadiahkan sikit usaha kita untuk membantu bagi melancarkan perjalanan. Atau pun, pakat ramai-ramai pulang menaiki kenderaan awam, bas, keretapi, atau car pooling, pasti kegembiraan sama dikongsi.

Dalam menuju penghujung bulan, Taman RKI masih lagi dalam proses penambah baikan. Almaklumlah, blog ni sudah kurang aktif, malah tidak ada perkongsian yang menarik lagi membuka minda daripada teman untuk kamu semua. Maafkan teman kerana 'rasa' itu sudah lama berlalu, rasa menulis dan berkongsi melalui blog ini. Hal ini kerana mungkin kegirangan menulis sudah terhakis.

Apa-apa pun, walau jarang sekali menulis di Ruangan Konklusi Idea ini, amatlah diharapkan bahawa, paling tidak pun, sebulan teman dapat coretkan 3 ke 4 entry, agar pembaca atau peminat blog ini (kalau ada) dapat menikmati bahan bacaan baru.

Semalam dapat berita daripada seorang kenalan tentang peluang untuk jadi volunteer. Esok malam pula teman akan mulakan sesi kembara hikmah selama 3 hari bersama saudara-saudara yang lain. Dan, malam ini, teman sempat dihubungi oleh rakan dalam membincangkan tentang perniagaan kecil-kecilan. Harapnya, semoga Allah melancarkan semua urusan baik buat kalian semua, kawan-kawan, kenalan, insan-insan yang disayang dan menyayangi teman, serta buat diri RKI juga.

Selamat bercuti, 
ada rezeki, 
jangan lupa kongsi.

Khamis, 5 Februari 2015

Kita Mulakan Februari 2015

Bulan Februari baru sahaja bermula. Dan... secara jujurnya teman masih tidak berpeluang dalam mendapatkan kerja. Baik yang part time mahupun full time, kedua-dua itu kelihatan mustahil buat masa ini. Jadi, apa yang patut RKI lakukan?

Disebabkan kekangan-kekangan ini, maka dengan itu saya mulakan langkah untuk 'menghayati cuti' dengan sebenar-benarnya. Dalam erti kata lain, melalui hari-hari cuti semester ini dengan berehat di rumah dan kadangkala keluar ke pekan. Iyalah kan, mungkin Allah nak suruh rehat dulu, bagi masa untuk diri sendiri dahulu sebelum diberikan tanggungjawab yang lain, yang bakal membuatkan diri ini sibuk.

Buat masa ini, rutin mingguan RKI adalah joging di petang hari dan di malamnya, menghadiri kuliah buat tambah sikit-sikit ilmu yang dah makin berkarat. Malah semalam, (Rabu 4.Feb), teman pergi menonton wayang filem Villa Nabila arahan Syafiq Yusof. Filem dokumentari re-enactment yang berjaya mengeluarkan diri daripada kepompong filem-filem kegemaran penonton di Malaysia. Secara peribadi, Syafiq Yusof berpotensi untuk menghasilkan filem yang bermutu di masa akan datang kerana karyanya kali ini diserikan dengan kesan bunyi yang kemas disamping visual dan jalan cerita yang tersusun. Walaupun ceritanya seperti cerita-cerita yang biasa didengar & dilihat, namun usaha beliau harus dihargai dengan pergi menonton beramai-ramai di panggung wayang. Dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah mendoakan beliau supaya tak sesat jalan (dalam erti kata lain, kekalkan momentum untuk menghasilkan karya bermutu). Ini merupakan filem pertama dalam bulan Februari yang saya tonton setelah lama merehatkan diri daripada pergi ke panggung wayang.

Setelah lama bersibuk-sibuk di kota sebelum ini, apa salahnya kalau beri peluang untuk diri sendiri menikmati masa lapang kan? Oleh itu, silakan saudara-saudari untuk mengambil sedikit ruang dan masa untuk diri sendiri. Jangan risau, masa tersebut tak terlalu lama, bahkan kawan-kawan akan faham kalau kita 'menyembunyi diri' sebegitu. Asyik nak jaga hati kawan, keluarga, dan orang sekeliling saja kan? Diri sendiri pun mahukan belaian juga.


Psss: Bulan Februari bulan kelahiran RKI. Kalau ada yang nak bagi hadiah, jangan segan-segan untuk zahirkan hasrat kamu ya! haha

Jumaat, 30 Januari 2015

Tutup Buku Januari 2015

Seakan Formula 1... Bulan Januari yang kita semua lalui kini semakin menutup tirainya. Mana tidaknya, segelintir daripada masyarakat tidak menghairankan perjalanan bulan berganti bulan dalam sesebuah tahun, dek kerana sibuk melakukan hal masing-masing. Januari yang memenatkan!

Itulah kesimpulan yang boleh RKI katakan kerana di dalam bulan ini, kehidupan yang ditempuh seumpama berlari di atas treadmile... dan acap kali juga merasakan seakan-akan berlari pecut 100 meter. Nah, itulah resam orang nak berjaya. Kena berkorban, biar penat tidak cukup rehat asal ada sekelumit usaha daripada hanya bercakap-cakap kosong dan hasil pun tidak ada. Tak sangka, bulan ini berjaya membuahkan lagi sebuah karya filem pendek daripada Blackroses Production Team. Ditambah dengan tanaman RKI, (yakni pokok Jagung dan pokok Rozzel) telah subur, malah ada tanda-tanda bakal membuahkan hasil tanaman tidak lama lagi.


Bila mungkin hasilnya dapat di nikmati?

Untuk hadirin yang hadir di Taman Ruangan Konklusi Idea ini, disarankan untuk selalu berfikiran optimis. Jangan terlalu runsing dengan kesempitan wang dan kesukaran menyusun perbelanjaan mingguan. Cukup-cukuplah berada di minda yang cetek dan semakin mundur. Bak kata Elizabeth Tan, Waris dan Aizat Amdan;

Maju dan maju langkah ke hadapan ~ 
Anak mudaBangkitlah anak muda ~ 

Ya! Kita haruslah maju melangkah kerana di setiap pagi yang hening, ada rezeki buat manusia yang berusaha dan tahu erti berkorban. "Man jadda, wajada" (Siapa berusaha, dia akan dapat hasilnya). Oleh itu, ayuh sekalian yang sudi membaca untuk sama-sama kita bersemangat waja, maju dan terus melangkah. Semoga anda semua menjadi kaya hati dan kaya harta, Insya Allah. Dan ya, apa perancangan kamu semua untuk bulan Februari ni? Mana tahu, kita boleh berkongsi idea.


Isnin, 12 Januari 2015

Pesan buat Kekasih - 2

Wahai kekasihku walau di mana kamu berada, ingin diungkapkan madah penuh kesyahduan dalam meniti kisah-kisah keperibadian mulia gadis-gadis yang direstui Tuhan. Kamu janganlah khuatir bahawa setiap jodoh dan ketentuan itu, Dia Yang Maha Mengetahui yang uruskan. Tugas kita hanyalah mempersiapkan diri sebagai mukmin sejati supaya baik suami mahupun isteri, kedua-duanya saling perlu bertolak ansur. Kepada kamu bakal isteriku, semoga terus berbahagia dalam meneruskan kehidupan ini. Oh ya! Memang saya sedang berkarya. Jangan gundah gulana ya.

Jumaat, 9 Januari 2015

Surat RKI kepada Steven Gerrard

Suatu ketika dahulu, seorang insan yang berkarisma ini mampu membuatkan budak-budak kecil bersemangat dalam bermain bola sepak. Baik daripada tak tahu main, sehinggalah yang mempunyai skill yang tinggi, ramai mata-mata yang mengimpikan bakat yang ada padanya. Malah, dia sungguh mahir dalam meniupkan semangat kepada rakan sepasukannya dan merupakan seorang ketua pasukan yang disegani baik di dalam kelab, mahupun di peringkat antarabangsa.

Pernah suatu ketika, pabila aku memasuki padang, mulalah aku 'memakai' watak sang ketua pasukan yang tegas, berani ke hadapan dalam memastikan usaha-usaha pencarian gol tidak sia-sia. Aku pernah melalui zaman di mana rakan-rakan sepermainan bola sepak tekun mendengar pandangan, nasihat dan kata semangat daripada aku ketika di padang. Ketika itu, idola aku inilah banyak mengajar supaya lebih sedar dan berhati-hati ketika di padang, dan sehinggakan ada ketika aku terbayang-bayang sedang memakai jersi bernombor 8 dan melakukan sepakan kencang jarak jauh daripada tengah yang cukup terkenal itu.

Hal ini adalah merupakan kisah nostalgia yang masih terpahat, kekal, dan terus dikenang walau usia menuju senja, ingatan menuju alpa, tenaga menuju lelah. Bagai mengimbau kenangan lama, aku terpaku dan termenung, apabila mendengar khabar bahawa Gerrard bakal meninggalkan Anfield. Agak rasa kehilangan sebenarnya apabila dia menyatakan hasrat sebegini kerana bagiku, biarlah dia kekal bersama Liverpool sehingga dia bersara. Tapi apakan daya, setiap manusia memilih jalan. Jalan yang bersimpang, pasti dilalu, walaupun padang lapang, tetap ada semalu.

Harapan kami di Anfield, semoga kamu berjaya di padang baru dan jangan dilupa kami disini. Steven Gerrard, terima kasih kerana memberi aku secubit semangat untuk menjadi insan yang optimis dan berani sehingga ke hari ini.


Taman RKI,
Peminat setia Liverpool
You'll Never Walk Alone

Jumaat, 7 November 2014

Muzik dan signifikannya mengikut zaman

Andai, dibiarkan ia usang~
Diterangi malap bulan~
Akan tinggal bayang kekosongan~


Itu bait-bait lagu Spring, band yang pernah meniti suatu zaman kegemilangan mereka sebelum ini. Mencengkam, remuk redam susunan kosa-katanya. Kata orang, 'karok lagu ni layan wehh". Ya! Tidak dinafikan, lagu ni RKI rajin juga bawa masa karaoke dengan kawan-kawan dan yang tersayang. Almaklumlah, RKI ni balada dan r&b orangnya. Jadi lagu-lagu yang main soul untuk dinyanyikan, memang kegemaran teman.

Kalau diperhatikan dari sudut zaman lagu-lagu nostalgia ni, kebanyakan lirik-lirik yang terhasil berkisarkan cinta yang terhalang, cinta yang diduga, kisah jejaka dan gadis. Apakah zaman itu zaman kekecewaan atau pola masyarakat ketika itu menghayati melodi yang agak melankolik? "Cakap pun tak guna, tendang pun tak kena", kata Ah Chai kan? Jadi, pada pandangan teman sendiri, berkemungkinan mereka memainkan lirik dan melodi sebegini bertujuan ingin memfokuskan karya masing-masing dalam bidang seni suara dan muzik itu sendiri. Mana tidaknya, bila kita hayati lagu-lagu tersebut, selalunya kita akan dengar muzik yang digarapkan mempunyai variasi. Ada yang sampai, lebih daripada tiga alatan muzik diguna pakai dalam usaha, untuk memberikan yang terbaik dalam penciptaan sesebuah lagu.

Oleh itu, tak salah kalau kita katakan bahawa lagu-lagu yang terhasil daripada zaman itu telah berjaya menyuntik nilai estetika, bukan sahaja pada muzik, bahkan menerusi bait-bait kata dalam penghasilan lirik juga.

"Fuhhh, RKI. Sudahlah tu... Denyut-denyut dah 
kepala bila you dah sembang deep ni" 

Haha. Baiklah, sampai situ saja perbahasan tentang muzik di era lagu-lagu rock balada ni. Jumpa lagi di laman yang lapang beralaskan persepsi yang tiada terpintal sebelum kita disimpulkan masa wujudnya insani. 

layan kejap lirik lagu ni :)

Tin Klik-Kluk